Wanita Farsa tergesa-gesa membetulkan rambutnya. Dia kurang berpuas hati dengan hasil kerja pendandan istana.
“Oh, menyakitkan mata! Lihat betapa buruk gaya rambut saya. Bagaimana saya boleh menghadiri persidangan dengan rambut buruk seperti ini?” Jerkahnya ke arah tukang dandan rambut yang menikus di penjuru bilik.
Sementara itu, Rosemari, pembantu istana keturunan Malayali, cuba menahan ketawa yang lahir secara spontan tatkala mendengar kata-kata Wanita Farsa.
“Rupa-rupanya kau sedar juga gaya rambut kau amat buruk,” fikirnya dalam diam. “Kalau memang sudah sedia buruk, macam mana mahu dicantikkan?”
Wanita Farsa sedang menyelongkar almari khas yang menempatkan puluhan rambut palsu miliknya; kesemuanya didatangkan khas dari Benua Kecil India sejak istana ini menjadi miliknya.
“Ah, bukan milik aku tetapi milik suami aku,” detik hatinya apabila teringat akan hakikat itu. “Namun, apa yang menjadi milik suamiku adalah sebenarnya milikku kerana aku yang berhak menikmati segala kemewahan ini sementara suamiku terpaksa mentadbir negara ini yang tidak menjanjikan masa depan.”
Wanita Farsa mengeluarkan salah satu rambut palsu – walaupun kesemuanya adalah sama dan serupa – lalu menghulurkannya kepada Rosemari. Si tukang dandan istana cuba mendekati tetapi segera disergah.
“Biar Rosemari uruskan! Awak boleh keluar!”
Rosemari menyambut rambut palsu yang dibaling itu sementara pendandan rambut berkenaan melangkah keluar dengan penuh rasa syukur.
Nantikan sambungan kisah ini pada minggu hadapan!
Foto sekadar hiasan. Faksyen ini disiarkan dengan konsep sama seperti dijelaskan di sini dan diambil dari blog Uthaya Sankar SB.
~
Uthaya Sankar SB adalah Pejuang Bahasa Malaysia serta pengasas dan Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan sejak Ogos 1999. Blognya boleh dibaca di sini manakala akaun Facebook di sini.
No comments yet.
Sorry, the comment form is closed at this time.