WANTED: Someone to restore Arteri and give it 2nd life. Interested? Email: mail.sharonchin.com

Kisah Kumpulan Jendela

Posted by on Thursday, 3 December, 2009 at 12:25 PM. Filed under: Profiles

alfi
Jumaldi Alfi. Untitled, 2008, Acrylic on Canvas, 215 x 315 cm

Jika Matahati merupakan kumpulan pelukis yang paling terkenal di Malaysia, maka Jendela yang berpangkalan di Jakarta (kedua-dua kumpulan ini terdiri daripada kalangan pelukis muda dalam lingkungan usia pertengahan 30-an) merupakan kumpulan pelukis yang cukup terkenal di Indonesia.

Sepertimana Matahati, pelukis kumpulan Jendela — Handiwirman Saputra, Yunizar, Yusra Martunus, Alfi Jumaldi dan Rudi Mantofani, kesemuanya memperoleh nikmat kejayaan dan kemasyhuran.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mungkin menganggap kebanyakan pelukis Indonesia (seperti Affandi atau Hendra Gunawan) mempunyai watak yang berubah¬-ubah — sesuai dengan karya mereka di kanvas yang sangat ranggi dalam ekspresionisme mentah.

Sebaliknya, karya lima orang pelukis Jendela amat damai dan tenang — boleh dikatakan berhati-hati dan sangat prihatin terhadap cabaran intelektual, estetik, dan formalis dalam penghasilan seni.

cakrawalawarna3
Rudi Mantofani, Cakrawala Warna #3, 2007, Acrylic on canvas, 165 x 250 cm

Satu pameran berkumpulan Jendela bertajuk, A Play on the Ordinary, di muzium National University of Singapore (NUS) memberikan peluang terbaik untuk penulis membuat penilaian tentang pencapaian kumpulan pelukis ini — kedudukan mereka dalam budaya kehidupan di Indonesia dan bagaimana sejarah kontemporari republik yang dramatik itu dan kadangkalanya menumpahkan darah masih mampu membentuk karya generasi yang lebih muda.

Pertama-tamanya, penulis perlu memaklumkan bahawa pameran di Muzium NUS ini mempamerkan dua buah karya milik bersama penulis sendiri. Keduanya, tempat pameran itu sendiri mewajarkan ia diteliti. Muzium NUS (sehingga sekarang masih terkenal dengan koleksi seramik Lee Kong Chian) terletak di pinggir kesibukan kota raya di Orchard Road-Raffles Place.

Galeri-galeri di Muzium NUS agak sempit — malah kedudukan bilik-biliknya juga sangat pelik. Namun di sebalik kekurangannya, pameran Jendela menunjukkan impian Muzium NUS untuk menjadi hab kurator utama seni lukis kontemporari di Asia Tenggara.

Di bawah pimpinan Ahmad Mashadi, Muzium NUS mengadakan banyak pameran yang menuntut pemikiran yang mendalam dengan menampilkan antara lainnya, pelukis terkenal Filipina, Ronald Ventura dan Wong Hoy Cheong dari Malaysia.

Kembali kepada Jendela, pameran pertama kumpulan ini diadakan di Jogjakarta pada 1997. Kemudian diikuti pameran di seluruh Republik Indonesia – Bali (1999), Jakarta (2002) dan Bandung (2002). Semua tarikh pameran tersebut penting untuk diteliti kerana dalam keadaan pergolakan sosiopolitik pada waktu itu – kumpulan Jendela menolak tema karya yang berbau politik.

menahan2
Handiwirman Saputra, Menahan 2, 2007, Acrylic on canvas, 165 x 165 cm

Karya Handiwirman merupakan lambang pendekatan kumpulan Jendela. Oleh sebab terlalu memikirkan tentang kehancuran kehidupan – cebisan bulu-bulu kapas dan sampah-sarap terbuang yang dikutipnya, karya-karya Handi – kedua-duanya lukisan dan arca – terbina daripada kumpulan objek yang dikutip dan ditelitinya pada setiap hari. Di bawah pengamatan Handi, benda yang pernah menjadi sampah diubah menjadi ikon.

Begitu juga dengan Rudi dan Yusra. Kedua¬duanya penghasilan seni mereka – seperti many Handi – silih berganti antara lukisan dengan karya tiga dimensi. Rudi dengan glob yang kempisnya dan Yusra dengan lopak daripada logam seperti merkuri yang dihasilkan dengan begitu menarik dan cantik – seakan-akan mengundang orang yang melihat untuk menyentuh dan mengambilnya.

Karya pelukis Jendela tegas dengan penolakan untuk tidak menyentuh soal politik memandangkan warisan Sumatera Barat yang dikongsi bersama oleh kumpulan pelukis itu waiar mendapat lebih perhatian disebabkan semua ini juga memperlihatkan sebahagian daripada sejarah politik Indonesia, terutamanya isu hubungan yang bermasalah antara Jakarta dengan pulau di sekitarnya.

Pada 1958, di tengah-tengah retorik yang cenderung kepada Parti Komunis Indonesia (PKI) yang lantang pimpinan Soekarno dan setelah berada di baris depan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada Belanda, kebencian penduduk wilayah Sumatera semakin mendalam terhadap Jakarta. Akhirnya pada Februari tahun tersebut, pemimpin setempat dengan beraninya mengumumkan pembentukan Kerajaan Revolusioner dikenali sebagai Pemerintah Revolusioner Republik Indonesia (PRRI).

08103t
Yusra Martunus, 08103t (Envelope series – Lemah), 2009, towel bar, aluminium sheet, polyurethane, 69 x 65 x 15 cm

Pengisytiharan sepihak itu bertujuan membangkitkan kemarahan Soekarno. Lantas Soekarno bertindak balas dengan segera tanpa belas kasihan. Soekarno menghantar bala tenteranya untuk memulihkan wilayah yang bangun memberontak terhadap Jakarta.

Dalam beberapa minggu sahaja, beberapa pekan di Sumatera seperti Padang, Bukit Tinggi, dan Padang Tumbuh dibom dan kemudiannya diserang oleh pasukan tentera Jawa yang dipilih khas oleh Soekarno kerana kebengisan mereka. Pertempuran di kedua-dua pihak sangat ganas dan kejam berikutan penyokong-penyokong PPRI yang pro-Islam membunuh penduduk Sumatera yang menyokong perjuangan komunis PKI di bukit-bukau daerah Padang dan begitu juga sebaliknya.

Akhirnya dengan penguasaan ke atas wilayah ini dan penduduknya yang bersuara lantang, Soekarno memulakan usaha damai yang mempunyai impak yang teruk terhadap identiti Minangkabau untuk beberapa dekad selepas itu.

Hasil keseluruhannya daripada siri pergolakan dan pembunuhan ini, penduduk di Sumatera mula mengelakkan diri daripada terlibat dalam soal politik. Pada masa yang sama, banyak penduduk Sumatera Barat mula menukar nama dan tidak mengheboh-hebohkan identiti budaya mereka yang sangat tersendiri itu.

bl365
Yunizar, Wajah Hitam, 1999, Oil on canvas, 90 x 110 cm

Dalam perbincangan penulis dengan pelukis Jendela, jelas sekali bahawa ibu bapa mereka melakukan segala¬galanya untuk menghalang mereka daripada terlibat dalam politik. Malahan hanya setelah mereka belajar di Jogjakarta, barulah mereka ketahui tentang sejarah berdarah wilayah mereka.

Melihat hasil tangan mereka yang bergaya dan cantik, setelah memahami sejarah yang, menumpahkan darah di Sumatera Barat, agak sukar untuk merasakan trauma beramai-ramai yang dilalui rakyat Sumatera yang disekat dan tertindas berdekad-dekad lamanya.

Namun, dalam banyak hal penolakan politik dan pengabadian kepada seni mengukuhkan dan menghidupkan pengkaryaan pelukis Jendela, terutamanya semasa zaman reformasi apabila pemikiran sebenar “seni untuk seni” itu juga kelihatan subversif.

~

First published in Dewan Masyarakat, Jun 2009.

Karim Raslan was born in Malaysia in 1963. Educated in both Malaysia and England, he read English and Law at St Johns’ College, Cambridge. Over the past twenty-two years, he has spent his time as a columnist, lawyer and regional anlyst. He writes a regular column for The Star, Sin Chew Daily, Sinar Harian, South China Morning Post and Jakarta Globe. He also contributes to other regional and international publications. Karim divides his time between Malaysia, Indonesia and the Philippines. Follow him on facebook.

Tags: , , , , , , , ,
You can follow any responses to this entry via RSS. Both comments and trackbacks are currently closed.

No Comments

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Sorry, the comment form is closed at this time.

Upcoming Events

no events

Ads

Twitter

Our Facebook Page